26 September 2010

Kemampuan Memilih


Salam 1Malaysia.

Ini ialah entri berbentuk motivasi. Sesuai dengan azam mahu mewujudkan sesi motivasi dalam blog ini.

Seperti yang kita semua tahu, kebanyakan perkara atas dunia ini berlaku dengan baik atau tidak bergantung kepada kemampuan memilih. Tak semua orang ada kemampuan untuk memilih. Memilih untuk berjaya atau gagal? Memilih untuk rajin atau malas? Memilih untuk bangun awal atau lewat di hari minggu? Kesemuanya sangat bergantung pada keupayaan untuk memilih untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Siapa yang mahu memilih? Biasanya tugas ini adalah tugas seorang ketua. Setiap orang adalah ketua kepada diri mereka sendiri. Sebelum sesuatu keputusan dibuat perlu ingat bahawa setiap keputusan ada risikonya tersendiri. Dan kebanyakan daripada keputusan tidak boleh dipatah balik. Sebab tu kena fikir betul betul sebelum buat sesuatu keputusan. Fikir sebab dan akibat.

Contohnya membuat pilihan untuk berada di kelas aliran sains tulen atau kelas perakaunan ketika di Tingkatan 4. Tengok balik keputusan subjek Matematik dan Sains. Kalau dua dua subjek dapat A, teruskanlah ke kelas sains tulen melainkan kau dah ada perancangan lain dalam kepala. Kalau rasa subjek Matematik tak kuat, fikir balik. Sebab ada risiko di kemudian hari.

Membuat keputusan juga kadang kadang perlu dipandu oleh hati. Sebab tu sebelum memulakan apa apa mesyuarat atau perjumpaan yang memerlukan membuat keputusan, mulakanlah dengan AlFatihah. Harapnya segala keputusan yang akan dibuat dibantu oleh Allah S.W.T.

Memang susah untuk membuat keputusan. Walaupun perkaranya cuma mahu memilih untuk menggosok gigi atau mencuci muka terlebih dahulu di waktu pagi, ia tetap memerlukan membuat pilihan. Perkaranya cukup senang tapi tetap melibatkan pemilihan bukan?

Orang yang berlainan mempunyai keupayaan yang berbeza. Setiap pemilihan akan diikuti oleh tindakan untuk menjustifikasikan pilihan tersebut. Contohnya memilih untuk berjaya. Tindakannya ialah dengan belajar bersungguh sungguh, usaha tanpa henti selain daripada doa dan nasib. Kalau memilih untuk berjaya tapi tiada tindakan susulan tak berguna juga.

Aku juga sudah membuat keputusan untuk sesuatu yang besar. Harapnya ni keputusan yang betul dan tak aku tak menyesal di kemudian hari. Semoga kita sentiasa membuat pilihan dan keputusan yang tepat. Yang tak merugikan kita di masa hadapan. InsyaAllah.

No comments: